Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Friday, November 25, 2011

Cerita di meja makan


Pernah tak anda dengar kisah Nabi Ibrahim dan juga anaknya Nabi Ismail? 


Mar rasa mar pernah dengar masa sekolah menengah dulu, tapi mungkin masa kuliah subuh tu mar terlena dalam mimpi.. Jadi mar cuma dengar sayu-sayu sahaja seperti angin sepoi-sepoi bahasa.

Abang Fuad balik agak lewat semalam sebab ada dua kes perlu diselesaikan di hospital. Mar dan Fariss tengok saluran AXN  rancangan“The Challenger” sehingga selesai . Ini rancangan kesukaan mar. Fariss pun terpaksa ikut sama sebab mar menyusukan dia. Selesai sahaja rancangan ni, loceng rumah berbunyi. Alhamdulillah, balik sudah suami ku.

Mama pesan bila suami balik lewat, pastikan tanya “Abang dah makan?”. Sediakan makanan awal-awal jadi bila sampai ke rumah, dia akan gembira bila makanan dah tersedia di meja. Kalau kita sendiri pun balik lewat, perut lapar, kita akan mengharapkan orang melayan kita macam tu kan? Seusai menyusu, Fariss pun tidur. Mar temankan Abang Fuad di meja makan untuk makan masakan mar “ Asam pedas Melaka”. Lauk kegemaran Abang Fuad.

Di meja makan, kami berbual bual tentang banyak perkara.Abang Fuad tahu agak banyak cerita tentang sirah nabi. Mar minta Abang Fuad semalam untuk ceritakan kepada mar satu sirah nabi. Macam ni ya kisahnya dalam versi ringkasan sahaja.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim datang melawat Nabi Ismail di rumahnya. Pada waktu itu Nabi Ismail tiada di rumah kerana pergi berburu. Isteri Nabi Ismail ada di rumah ketika itu. Isteri Nabi Ismail menjemput Nabi Ibrahim masuk ke dalam rumah. Nabi Ibrahim bertanya tentang rumah tangga Nabi Ismail dan isterinya. Dalam kata-katanya isteri Nabi Ismail mengadu bahawa Nabi Ismail suka berburu sehingga berhari-hari dan meninggalkannya seorang di rumah. Selesai berbicara, Nabi Ibrahim pun mahu berangkat pulang. Sebelum pulang, Nabi Ibrahim menyuruh isteri Nabi Ismail untuk menyampakan pesanan. Pesanannya berbunyi “ Sampaikan salamku kepada Ismail dan suruh beliau menukar tombol pintu rumahnya “. Untuk dijadikan ringkasan, Nabi Ismail menceraikan isterinya ini. Tidak lama kemudian Nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita mukmin. Nabi Ibrahim kemudian datang melawat Nabi Ismail. Pada waktu ini, Nabi Ismail tiada di rumah dan isteri beliau menyambut Nabi Ibrahim masuk ke rumah. Nabi Ibrahim tetap bertanya soalan yang sama kepada wanita ini tentang rumah tangga mereka. Jawapan wanita ini berbeza dan tidak ada perkataan merungut yang keluar daripada bibir wanita ini. Nabi Ibrahim pun mahu berangkat pulang selepas selesai berbicara dengan wanita ini. Nabi Ibrahim menyuruh wanita ini menyampakan pesanan kepada Nabi Ismail. Pesanannya berbunyi “ Sampaikan salamku kepada Ismail dan minta beliau untuk kekalkan tombol pintu rumahnya ini “

Mar terdiam lalu berfikir sehingga kini. Banyak betul pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan juga dua wanita ini. Mungkin antara sedar atau tidak, apabila berbicara kita kadangkala akan mengeluh tentang kehidupan. Apalah kehidupan tanpa cabaran. Dalam berumah tangga juga ada cabaran yang perlu ditempuhi. Setiap orang perjalan kehidupannya mungkin berbeza. Dalam kes Nabi Sulaiman ini, mungkin Nabi Sulaiman berburu untuk membawa balik hasil tangkapan sebagai sumber rezeki keluarganya. Untuk menangkap rusa bukanlah seperti menangkap ayam di kampung. Ia perlukan kesabaran yang tinggi dan mungkin mengambil masa berhari-hari. Wallahuallam.

Apa yang pasti salah satu  tanggungjawan seorang isteri kepada suaminya adalah menjaga maruah suaminya dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepadanya. Seorang isteri yang solehah, ia akan bersabar dengan kekurangan yang ada pada suaminya dan sabar dengan kesulitan hidup bersama suaminya. Tidaklah ia mudah berkeluh kisah di hadapan suaminya atau mengeluhkan suaminya kepada orang lain, apalagi mengumpat suami, menceritakan aib/ cacat dan kekurangan sang suami. Bagaimana pun kekurangan suaminya dan kesempitan hidup bersamanya, ia tetap bersyukur di atas segala kekurangan dan kesempitan tersebut, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala memilih lelaki muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sebagai pendamping hidupnya di dunia dan di akhirat, insya allah.

Renungkan dua ayat daripada dua surah yang berbeza di bawah :

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari ni’mat Allah ?” Surah An Nahl : Ayat 72

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kalian mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.” Surah Ar-Ruum : 21 

Jodoh dan maut adalah rahsia Allah yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Oleh itu, kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah ini kerana daripada jutaan lelaki di dunia ini, suami kita sekarang adalah rahsia Allah yang telah didedahkan kepada kita tatkala wali mengesahkan akad nikah . Subhanallah. Nikmat tuhanmu yang manakah yang mahu engkau dustakan?

Dengan cabaran di dunia sekarang dimana segala harga barang melambung tinggi, terutamanya di Malaysia ini, atau mungkin suami anda mempunyai waktu kerja yang berlainan daripada anda sehingga menyukarkan anda bertemu ataupun si isteri  yang duduk berjauhan daripada suami isteri-isteri perlulah istiqamah dalam menjaga segala tutur kata daripada mengeluarkan perkataan –perkataan mengeluh kerana ini semua adalah salah satu cabaran di dunia di mana sekiranya anda berjaya menghadapinya dengan redha, insya allah ganjaran pahala itu sedia menanti anda .

Apa yang mahu mar tekankan sedikit di sini dan juga peringatan kepada diri sendiri juga, kebanyakan anak perempuan memang rapat dengan ibunya.. tapi ingatlah kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap tutur kata walaupun dengan ibu bapa kita. Seperti cerita di atas, yang bertanya kepada isteri pertama Nabi Ismail adalah ayah mertua kepada si wanita. Hubungan itu agak rapat, tetapi Nabi Ibrahim menasihatkan Nabi Ismail untuk menukar tombol pintunya. Betapa besarnya kesan yang ditinggalkan angkara mulut ini. Semoga kita wanita menjadi bunga harum diantara bunga-bunga di taman. Insya Allah


P/s : Pada mar, keluarga adalah seperti sepohon pokok. Suami adalah seperti akar yang kukuh mencengkam tanah, isteri adalah batang pokok yang naik meninggi ke langit, anak-anak adalah seperti dahan-dahan dan cucu adalah seperti ranting-ranting pokok. Sekiranya sepohon pokok mendapat baja yang subur, maka sihatlah pokok itu. Sama juga seperti perkahwinan, jika disemai dengan nilai-nilai yang mulia, maka terwujudlah satu keluarga bahagia yang diredhai Allah. Akar dan batang pokok memainkan peranan yang penting kerana akar menyerap air dan mineral daripada tanah untuk dibawa kebahagian atas pokok melalui batangnya maka segala air dan mineral itu akan dibawa ke dahan, ranting dan juga daun-daun pokok. Sekiranya batang pokok ingkar kepada akar, maka akan layu lah pokok itu dan akhirnya akan jatuh tersembam ke bumi bersama-sama dahan, ranting dan juga daunnya.  Wallahualam.

2 comments:

  1. perenggan last tu sepatutnya nabi ismail kan bukan nabi sulaiman...hehe

    suka cerita begini!!

    sekarang susah nak dengar orang/kawan sekeliling berceritakan kisah para nabi atau para sahabat

    alhamdulillah.satu perkongsian yang baik. Perkara baik yang kita dengar memang elok untuk ambil pengajaran, amalkan dan sebarkan :)

    jadi, saya pun nak kongsi satu link yang saya selalu baca;

    http://anakkusoleh.com/

    :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih peningpikirapa.
    nanti saya betulkan. tak perasaan pulak salah tulis. :)

    alhamdulillah..walaupun sikit, bolehla kongsi sama2 sama. tak semestinya bila saya kongsi, saya dah cukup baik atau sempurna. tanggungjawab sebarkan tu dituntut dlm islam walaupun sepatah perkataan :)

    ReplyDelete